Ahad, 24 Oktober 2010

DUA DIMENSI II

“ Mama dah pulang dari kerja ya?”

Mati lamunannya. Entahkan bila anak-anaknya sampai, tidak dia sedari. Seorang demi seorang mendapatkan tangannya untuk dikucup. Dia mengangkat tangan pada Pak Khasman yang membunyikan hon. Berterima kasih benar dia pada orang tua itu yang sanggup mengambil dan menghantar anak-anaknya ke sekolah. Soal upah dia tidak pernah berkira, asalkan anak-anaknya dapat ke sekolah dengan selamat dan selesa. Sekolah Seri Setia tidak sehala dengan laluannya ke pejabat.

“ Jom masuk sayang. Mama dah siapkan minum petang. Karipap sardin kegemaran Danish pun ada”

Berlari anak-anaknya menuju ke dapur. Dia hanya menggeleng sambil tersenyum. Bahagia anak-anaknya adalah bahagia dia. Masing- masing turun ke dapur setelah menukar pakaian. Sudah dia asuh begitu sejak mereka kecil. Kuih muih di dalam piring dijamah dengan penuh berselera, terutamanya oleh Danish. Dia tidak pernah lupa untuk membeli kuih-muih kegemaran setiap seorang daripada mereka sekembalinya dia daripada pejabat. Dia lebih selesa menghabiskan waktu bersama anak-anak walaupun kerap diundang makan di luar bersama rakan sejawat. Bukan dia mahu menyombong, namun dia tidak mahu mensia-siakan sedetik pun waktu bersama anak-anak.. Hanya anak-anak harta yang dia ada. Tambahan pula dia tidak mahu anak-anaknya berasa terabai. Dia arif benar dengan perasan yang satu itu. Bertahun- tahun dia telan rasa itu.

“Mama, esok ibu bapa kena hadir untuk tandatangan buku rekod sekolah. Cikgu pesan, Mama kena hadir kali ni. Dah banyak kali Mama tak pergi. ”

Kasihan benar dia pada anak-anaknya. Sudah acapkali benar dia tidak ke sekolah untuk mengambil buku rekod anak-anaknya. Jika dahulu, pasti dia dan suaminya akan bergilir-gilir ke sekolah untuk bertanya tentang prestasi anak-anaknya. Kalau dia ada urusan penting, suaminyalah yang akan ke sekolah. Begitulah sebaliknya. Dia tahu, dia harus mengambil cuti untuk tujuan itu. Dia tidak mahu anak-anaknya berasa malu dengan guru dan kawan-kawan mereka. Sebolehnya dia mahu mereka berasa lengkap. Dalam pada itu, dia harus mengorbankan sedikit masa. Biarlah kerjanya menimbun di pejabat, dia akan selesaikan walaupun pada hari cuti nanti. Pelajaran anak-anak tetap prioritinya,

“ini surat apa lagi hah?”

Bagaikan halilintar membelah bumi, nyaring suara Adam menjerkah dia. Mujurlah anak-anak kesemuanya telah tidur. Damia yang sedang lena terbangun dan merengek-rengek mendengarkan tengkingan itu. Cepat-cepat ditidurkannya semula. Hatinya begitu gerun mendengarkan jerkahan itu. Dia tahu punca kemarahan suaminya. Dia tidak ada pilihan lain. Adam suaminya. Dia harus tahu tentang surat tawaran yang baru Sheila terima daripada bosnya tadi. Isnin ini dia diminta mengikuti kursus di ibu kota. Dua hari saja, itupun dia langsung tidak meninggalkan daerah. Sekitar ibu kota Johor Bahru juga. Pening dia memikirkan kemarahan Adam. Sheila sebolehnya mahu menurut kata Adam, namun dia juga mahu mempertahankan kerjaya yang ama dicintainya. Adam yang dikahwininya 13 tahun yang lalu atas dasar cinta, sudah banyak berubah. Kali ini dia berdoa agar Adam tidak memungkiri janjinya untuk tidak mengasari dirinya dan anak-anak lagi. Lelaki berumur 39 tahun itu tampak bengis. Cemburunya bukan kepalang. Sejak tiga tahun lepas, cemburu Adam semakin menggila. Bukan sekali dia ditampar kerana keluar berurusan dengan kakitangan lelaki di pejabatnya. Dia haruslah profesional, dan tidak mungkin dia dapat menolak setiap kali diminta bergandingan dengan kakitangan lelaki yang lain atas sebab kerja. Tambahan pula tidak ramai kakitangan wanita yang sejawatan dengannya. Dia tiada pilihan. Memanglah gaji Adam cukup untuk menampung mereka sekeluarga, namun kos membesarkan anak-ananknya yang berempat itu bukanlah murah. Sheila juga menyara ibunya di kampung. Dia mahu anak-anaknya hidup selesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan