Ahad, 24 Oktober 2010

DUA DIMENSI I

Baju- baju yang baru diangkatnya daripada jemuran dilonggokkon di ruang tamu rumah. Cuaca yang begitu terik menggigit-gigit kulit kuning langsat miliknya. Perlahan-lahan dia menarik nafas sambil bucu lengan baju kurungnya laju menyeka peluh yang memercik di dahi. Dia tidak berlama-lama di ruang tamu. Sekadar menutup suis kipas, bergegas dia keluar ke halaman semula. Pokok-pokok yang bergantungan di anjung rumah kebanyakannya sudah kekuning-kuningan. Dia tidak punya banyak masa. Banyak lagi tugasan yang menuntut perhatiannya. Hendak diharapkan Daniel, dia faham kesibukan anak sulungnya yang kebuntuan waktu itu. Manakan hendak ke tuisyen, menyiapkan kerja rumah, ditambah pula dengan kelas Piano yang dihadirinya. Kadang-kadang dia risau anaknya itu tidak dapat menumpukan perhatian terhadap UPSR yang bakal diduduki hujung Oktober ini, lantaran kerap menghabiskan waktu dengan menolongnya di dapur, bercerita itu ini, dan melayan karenah adik-adik yang seramai tiga orang itu. Mujurlah Daniel anak yang menurut kata dan lebih cepat matang berbanding usia sebenarnya. Mungkin anaknya itu mengerti situasi yang dia harungi.

Sambil menunggu van Pak Khasman yang mengambil anaknya dari kelas KAFA, dia lduduk di kerusi kayu yang berukir kemas di suatu sudut halaman rumah. Satu-persatu sudut rumah yang kaku dia perhatikan. Sungguh sunyi dunia dia rasakan pada masa itu. Kalau ada Damia, mungkin lebih terisi waktunya. Tidak sabar sungguh dia nantikan hujung minggu itu. Damia ditinggalkan bersama ibunya di Kampung Teluk Ketapang. Ibu mana yang tidak rindukan anaknya. Tambahan pula Damia satu-satunya puteri yang dia ada, sudahlah comel, keletah pula. Petah sungguh walaupun pelat. Tanpa dia sedari, bibirnya menguntum senyum. Tidak pernah jemu dia melayan karenah Damia yang baru tiga tahun itu. Dia semahunya tidak mahu terpisah dari anaknya yang seorang itu. Namun dia akur dengan hasrat ibunya yang tidak mahu anaknya itu dibesarkan orang yang tiada langsung pertalian darah dengan mereka. Dia harus akur, tambahan pula tidak mudah mahu mencari pengasuh yang benar-benar boleh diharapkan di kota Johor Bahru ini. Lagipun dia tidak begitu mengenali jiran-jiran di kawasan kediaman yang baru didiaminya tiga tahun yang lalu. Desakan tugas menuntut dia menghabiskan sebahagian besar masanya di pejabat. Dia tidak mahu anaknya terabai, dan ngeri apabila dia membayangkan kemungkinan anaknya didera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan