Ahad, 24 Oktober 2010

DUA DIMENSI -FINALE

“Hello Gina. Esok saya tak masuk ke pejabat. Batalkan semua temu janji saya pada sebelah pagi ya.”

Anak-anak yang mendengar dengan penuh tekun bersorak gembira. Sheila hanya tersenyum. Apalah anak-anaknya yang kecil itu tahu. Lekas-lekas dia menyuruh mereka membersihkan diri. Malam ini seperti biasa mereka akan mengikuti kelas Tilawah di surau berhampiran. Sudah menjadi rutin harian mereka. Biar penat macam mana sekalipun dia, dia tetap meluangkan masa untuk mereka. Rohani mereka harus terisi. Dia tidak mahu anak-anaknya jahil tentang agama. Masa depan anak-anaknya tidak harus dia perjudikan. Anak-anaknya yang masih kecil itu perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Sekali terabai, tidak mustahil jiwa mereka akan memberontak. Dia harus peka dengan setiap kemahuan anak-anaknya. Setiap keinginan mereka, seboleh-bolehnya dia mahu tunaikan. Biarlah dia yang berkorban. Dialah satu-satunya ibu dan bapa kepada mereka.Inilah harga yang perlu dia bayar untuk sebuah ikatan yang terlerai.



DUA DIMENSI III

Pagi itu, dia bersiap-siap ke kursus yang diadakan di sebuah hotel terkenal di selatan tanah air. Suaminya awal-awal lagi sudah keluar. Anak-anak, dia yang terpaksa hantar ke sekolah. Geram sungguh dia dengan sikap suaminya yang seakan sengaja membebankannya supaya dia tidak pergi menghadiri kursus itu. Mujurlah kursus hanya akan bermula pada sebelah petang. Tidak apa-apa jika dia terlewat sedikit mengikut sesi pengenalan. Dia harus tabah dengan dugaan ini. Tidak mungkin dia membiarkan anak-anaknya tidak bersekolah. Damia juga dihantarnya ke rumah jiran yang juga pengasuh anak-anaknya. Sepanjang perjalanannya menuju hotel, tidak putus-putus makian yang diterima daripada suaminya. Dia sudah lali. Dia pernah terima lebih teruk daripada itu. Dia wanita cekal, tidak mati dek makian.

Namun satu SMS yang baru diterimanya ini benar-benar membuatkan dia menangis. Dia tidak tahu mengapa Adam bersikap seperti mereka ini baru saja bernikah. Bukan sekali dia buktikan kesetiaannya pada Adam, dan bukan sekali juga dia terpaksa membatalkan kursusnya pada saat-saat akhir atas desakan Adam. Namun dia langung tidak dihargai dan Adam langsung tidak pernah berubah. Pemanduannya diiringi air mata yang menjadi teman setia. Air mata itu sudah lama bersama-sama dengannya, ketika dibelasah Adam, ketika dimalukan Adam di hadapan kawan-kawannya. SMS berbunyi “kau pergi kursus juga, jatuh talak satu.Sekarang pilih.” itu dia baca ulang-ulang kali.sesak dadanya dengan ungkapan itu. Entah apa yang merasuk Adam, dia tidak tahu. Dia berhenti di tepi lebuh raya agak lama. Tidak kuat dia untuk meneruskan pemanduan.

DUA DIMENSI II

“ Mama dah pulang dari kerja ya?”

Mati lamunannya. Entahkan bila anak-anaknya sampai, tidak dia sedari. Seorang demi seorang mendapatkan tangannya untuk dikucup. Dia mengangkat tangan pada Pak Khasman yang membunyikan hon. Berterima kasih benar dia pada orang tua itu yang sanggup mengambil dan menghantar anak-anaknya ke sekolah. Soal upah dia tidak pernah berkira, asalkan anak-anaknya dapat ke sekolah dengan selamat dan selesa. Sekolah Seri Setia tidak sehala dengan laluannya ke pejabat.

“ Jom masuk sayang. Mama dah siapkan minum petang. Karipap sardin kegemaran Danish pun ada”

Berlari anak-anaknya menuju ke dapur. Dia hanya menggeleng sambil tersenyum. Bahagia anak-anaknya adalah bahagia dia. Masing- masing turun ke dapur setelah menukar pakaian. Sudah dia asuh begitu sejak mereka kecil. Kuih muih di dalam piring dijamah dengan penuh berselera, terutamanya oleh Danish. Dia tidak pernah lupa untuk membeli kuih-muih kegemaran setiap seorang daripada mereka sekembalinya dia daripada pejabat. Dia lebih selesa menghabiskan waktu bersama anak-anak walaupun kerap diundang makan di luar bersama rakan sejawat. Bukan dia mahu menyombong, namun dia tidak mahu mensia-siakan sedetik pun waktu bersama anak-anak.. Hanya anak-anak harta yang dia ada. Tambahan pula dia tidak mahu anak-anaknya berasa terabai. Dia arif benar dengan perasan yang satu itu. Bertahun- tahun dia telan rasa itu.

“Mama, esok ibu bapa kena hadir untuk tandatangan buku rekod sekolah. Cikgu pesan, Mama kena hadir kali ni. Dah banyak kali Mama tak pergi. ”

Kasihan benar dia pada anak-anaknya. Sudah acapkali benar dia tidak ke sekolah untuk mengambil buku rekod anak-anaknya. Jika dahulu, pasti dia dan suaminya akan bergilir-gilir ke sekolah untuk bertanya tentang prestasi anak-anaknya. Kalau dia ada urusan penting, suaminyalah yang akan ke sekolah. Begitulah sebaliknya. Dia tahu, dia harus mengambil cuti untuk tujuan itu. Dia tidak mahu anak-anaknya berasa malu dengan guru dan kawan-kawan mereka. Sebolehnya dia mahu mereka berasa lengkap. Dalam pada itu, dia harus mengorbankan sedikit masa. Biarlah kerjanya menimbun di pejabat, dia akan selesaikan walaupun pada hari cuti nanti. Pelajaran anak-anak tetap prioritinya,

“ini surat apa lagi hah?”

Bagaikan halilintar membelah bumi, nyaring suara Adam menjerkah dia. Mujurlah anak-anak kesemuanya telah tidur. Damia yang sedang lena terbangun dan merengek-rengek mendengarkan tengkingan itu. Cepat-cepat ditidurkannya semula. Hatinya begitu gerun mendengarkan jerkahan itu. Dia tahu punca kemarahan suaminya. Dia tidak ada pilihan lain. Adam suaminya. Dia harus tahu tentang surat tawaran yang baru Sheila terima daripada bosnya tadi. Isnin ini dia diminta mengikuti kursus di ibu kota. Dua hari saja, itupun dia langsung tidak meninggalkan daerah. Sekitar ibu kota Johor Bahru juga. Pening dia memikirkan kemarahan Adam. Sheila sebolehnya mahu menurut kata Adam, namun dia juga mahu mempertahankan kerjaya yang ama dicintainya. Adam yang dikahwininya 13 tahun yang lalu atas dasar cinta, sudah banyak berubah. Kali ini dia berdoa agar Adam tidak memungkiri janjinya untuk tidak mengasari dirinya dan anak-anak lagi. Lelaki berumur 39 tahun itu tampak bengis. Cemburunya bukan kepalang. Sejak tiga tahun lepas, cemburu Adam semakin menggila. Bukan sekali dia ditampar kerana keluar berurusan dengan kakitangan lelaki di pejabatnya. Dia haruslah profesional, dan tidak mungkin dia dapat menolak setiap kali diminta bergandingan dengan kakitangan lelaki yang lain atas sebab kerja. Tambahan pula tidak ramai kakitangan wanita yang sejawatan dengannya. Dia tiada pilihan. Memanglah gaji Adam cukup untuk menampung mereka sekeluarga, namun kos membesarkan anak-ananknya yang berempat itu bukanlah murah. Sheila juga menyara ibunya di kampung. Dia mahu anak-anaknya hidup selesa.

DUA DIMENSI I

Baju- baju yang baru diangkatnya daripada jemuran dilonggokkon di ruang tamu rumah. Cuaca yang begitu terik menggigit-gigit kulit kuning langsat miliknya. Perlahan-lahan dia menarik nafas sambil bucu lengan baju kurungnya laju menyeka peluh yang memercik di dahi. Dia tidak berlama-lama di ruang tamu. Sekadar menutup suis kipas, bergegas dia keluar ke halaman semula. Pokok-pokok yang bergantungan di anjung rumah kebanyakannya sudah kekuning-kuningan. Dia tidak punya banyak masa. Banyak lagi tugasan yang menuntut perhatiannya. Hendak diharapkan Daniel, dia faham kesibukan anak sulungnya yang kebuntuan waktu itu. Manakan hendak ke tuisyen, menyiapkan kerja rumah, ditambah pula dengan kelas Piano yang dihadirinya. Kadang-kadang dia risau anaknya itu tidak dapat menumpukan perhatian terhadap UPSR yang bakal diduduki hujung Oktober ini, lantaran kerap menghabiskan waktu dengan menolongnya di dapur, bercerita itu ini, dan melayan karenah adik-adik yang seramai tiga orang itu. Mujurlah Daniel anak yang menurut kata dan lebih cepat matang berbanding usia sebenarnya. Mungkin anaknya itu mengerti situasi yang dia harungi.

Sambil menunggu van Pak Khasman yang mengambil anaknya dari kelas KAFA, dia lduduk di kerusi kayu yang berukir kemas di suatu sudut halaman rumah. Satu-persatu sudut rumah yang kaku dia perhatikan. Sungguh sunyi dunia dia rasakan pada masa itu. Kalau ada Damia, mungkin lebih terisi waktunya. Tidak sabar sungguh dia nantikan hujung minggu itu. Damia ditinggalkan bersama ibunya di Kampung Teluk Ketapang. Ibu mana yang tidak rindukan anaknya. Tambahan pula Damia satu-satunya puteri yang dia ada, sudahlah comel, keletah pula. Petah sungguh walaupun pelat. Tanpa dia sedari, bibirnya menguntum senyum. Tidak pernah jemu dia melayan karenah Damia yang baru tiga tahun itu. Dia semahunya tidak mahu terpisah dari anaknya yang seorang itu. Namun dia akur dengan hasrat ibunya yang tidak mahu anaknya itu dibesarkan orang yang tiada langsung pertalian darah dengan mereka. Dia harus akur, tambahan pula tidak mudah mahu mencari pengasuh yang benar-benar boleh diharapkan di kota Johor Bahru ini. Lagipun dia tidak begitu mengenali jiran-jiran di kawasan kediaman yang baru didiaminya tiga tahun yang lalu. Desakan tugas menuntut dia menghabiskan sebahagian besar masanya di pejabat. Dia tidak mahu anaknya terabai, dan ngeri apabila dia membayangkan kemungkinan anaknya didera.

KESEMENTARAAN

Ke hadapan dunia yang membinatang,

Engkau nampak tidak anak itu?
Sendirian dia teresak menghambur pilu
Engkau nampak tidak anak itu?
Meluah rasa pada sang langit biru
Engkau nampak tidak, jiwa anak itu disedut kaku?
Nyawanya tanpa henti diragut beku
Teruskan melangkah anak! Biarkan mereka di situ
Angkat perisaimu anak, jadikan peluru itu kebal olehmu
Rasa perit ini takkan selamanya harus kau hidu
Apa kau harus tunduk dan terus selamanya menyerah melulu?
Anak,sekental besi waja,tak mengenal mati, menjulang semangatmu
Nantilah,kau tunggu naskhah gembira itu, anak-anak Gaza sayang

KAU DAN AKU

Kelihatan jelas lewat kerlingan itu, mata dia yang membasah

Aku tenung sepasang mata tua itu yang penuh sarat dengan cinta
Untuk apa air mata itu bonda? Untuk apa?

Derita kelmarin aku usir, aku biarkan ia dimamah api
Apakah aku harus selamanya di sini,terperuk lalu terus mati?
Neraka dunia ini bukan pinta aku, mereka yang beri

Aku ada bonda, kekasih ulung tempat aku meluah rasa
Ketika aku dimaki,dikeji, tetap juga bonda di situ menyapa mesra
Untuk kamu, cinta aku ini takkan pernah dapat dunia ubah

KEHIDUPAN

Kehidupan ibarat kanvas-terlakar berjuta warna

Esak tangis dihambur dengan setiap bahasa yang sepedas-pedasnya
Hilai tawa bertebaran dihembus angin ke segenap pelosok atmosfera
Inilah dunia,
Di langit hujung sana pelangi jingga
Untuk apa diratap penuh hiba, digonggoi penuh derita
Pasrahkan saja takdirmu, usah dipekikmaki segala
Angin itu akan siulkan kau khabar gembira
Nilaikan hatimu dengan kilauan emas permata

NOSTALGIA

Kisah semalam di tempat itu, sesuatu yang mahu dia hilangkan
Amarah itu sudah mati, tidak lagi menghuni sudut derita jiwa dia.
Saat itu, semua mata keji memandangnya
Tidak pernah terfikirkan, begitu jelikkah dia di mata mereka?
Tahu tidak mereka itu, hati dia sudah terlalu amat pada remuknya
Apakah harus dia dipersalah untuk setiap malang yang datang menduga?
Mana mungkin hatinya terus kebal pada setiap caci maki yang menghina
Masih ingat dia pada Subuh itu,bertapak dia menyusur meninggal derita
Apa perlunya dia membagi hati untuk terus dimamah serigala
Kisahnya di tempat itu, satu-satu,ke dalamnya laut dia tanamkan

NEGARA

Ngeri apabila dia bayangkan hujanan peluru yang menggila
Entahkan apa nasib semua kalau tanah itu tertawan
Gentar hatinya mahu diperjudikan nasib bangsa
Amat tinggi cintanya pada tanah air tak terbandingkan
Rasa itu terus menyala,membakar obor semangatnya
Akan dia pertahankan daerah itu, kedaulatan itu dia junjungkan

MANUSIA

Apakah kau tidak sedar ini dunia kecil aku?

Ini jalan cerita aku, biar aku kisahkan sendiri
Semua tuding jari, semua mahu itu ini
Untuk apa dipuaskan hati mereka-mereka?
Nak diikutkan telunjuk semua, aku takkan ke mana
Apakah perlu selalu aku tunduk merendah diri ?
Manusia seperti serigala, selamanya mahu meratah jiwa aku.

BAHAMAN

Anjung rumah itu gegak gempita dek tempik mereka

Hati-hati yang rundung, dia pegang dan dia pandu
“Amanat ini harus kita jaga, kita pelihara!”
Masing-masing menjulang semangat menyahut setuju
“Anjing-anjing ini harus kita usir, ini tanah kita!”
Nasib peninggalan temurun yang terjajah, menjadi sumbu
Bahaman, tidak sia-sia darah yang kau tumpahkan, pada akhirnya

TUHAN

Tidak siapa mengerti derita yang dia rasai

Untuk dia meneriak melaung derita, tidak sesekali
Hari-hari, di atas tikar kecil,dia berlagu pilu seorang diri
Apabila mereka mencebik, menghina,menyakiti
Nalurinya makin kuat, dia tetap bertuankan yang hakiki.

ALAM

Alam tidak pernah berhenti menduga rasa


Laut tidak pernah jemu menghempas gelora

Angin tidak pernah serik menghembus derita

Malam tidah pernah henti menghirup nyawa

AKU

Aku gadis yang pernah diusir kau pergi
Ketika di luar, dunia memandang aku keji
Untuk apa dimahukan diri aku lagi?

Sabtu, 16 Oktober 2010

gagah

mohon untuk terus digagahkan diri, terus dikebalkan hati.

mohon tidak ranap penuh hina, jatuh penuh cela.

untuk setiap calar yang terhadiahkan, sentiasa ada harga.
untuk setiap curiga yang terhadiahkan, sentiasa ada luka.
untuk setiap kasih yang disampahkan, sentiasa ada padah.

saban kali aku kesalkan tentang kasih yang tak kesampaian.tentang cinta yang mati di permulaannya jalan.
tidak sekali-sekali aku kisahkan tentang taman yang dibaja hari-hari.
ironis.

*******************************************************

karma.
indah tapi perih

apa rasa kau bila kau beriya kesalkan kasih yang sudah terhenti. apa rasa kau bila kau hebohkan tentang kerinduan yang tak tertanggungkan?
apa rasa dia?

apa rasa kau bila dia beriya kesalkan kasih yang sudah terhenti. apa rasa kau bila dia hebohkan tentang kerinduan yang tak tertanggungkan?
apa rasa kau?

pedih bukan?

mohon untuk terus digagahkan diri, terus dikebalkan hati.

mohon tidak ranap penuh hina, jatuh penuh cela.

Ahad, 3 Oktober 2010

teknik penceritaan

salam 1Malaysia ( bagi aku kalau terlalu kerap digunakan, ia sudah tidak membawa apa-apa sentimen dan terlalu murah untuk diucapkan.lihat saja kaca televisyen,surat khabar, malah brochure percutian)

bagi aku,

apa yang bakal aku tuliskan ini memang sebenarnya apa yang selalu aku semat dalam hati aku, apa yang aku percaya dan aku pegang.

bahawasanya aku berhajat untuk tidak akan pernah meluah rasa tentang ketidakpuasan hati aku kepada orang lain yang berkisar tentang kekasih-kekasih aku. waima seakrab manapun kita, aku mahu terus tegar untuk terus berdiam.

*tarik nafas panjang

aku boleh saja berkisah tentang konflik pergaduhan aku dan abang aku. dan selalunya cerita aku akan jadi berat sebelah dan aku akan cerita daripada sudut pandangan aku saja. aku tidak akan ceritakan pandangan dia yang katakan aku bongkak, pentingkan diri, pemalas, dan busuk hati. aku tidak akan tahu.

dan aku hanya akan kisahkan tentang dia yang aku rasakan bongkak, pentingkan diri, pemalas, dan busuk hati.

bukan aku tidak langsung ada terguris dan tidak puas hati. bukan aku langsung tak terkesan. tapi aku selalunya akan pilih jalan selamat, aku tutup cerita, aku payah nak ceritakan pada sesiapa. dan aku diamkan.

kalau aku ceritakan kepada kau perihal  kakak yang aku bongkak, pentingkan diri, pemalas, dan busuk hati, dan daripada sudut pandangan aku saja yang jarang amat menyalahkan diri sendiri, apa kata kau?

mesti kau akan kata dia jahat.

dan oleh sebab aku tidak kental untuk segala kejian kau untuk dia, aku mesti akan rasa panas hati sebab kau tak layak kutuk dia. padahal aku yang beriya buka cerita.

jadi untuk kau yang seperti aku, berhati tisu, jangan buka jalan untuk semua kesayangan kau dikeji. lebih baik diamkan diri sebab kau tak akan tahu apa respons mereka. apa kata mereka.

dan aku lebih suka mendengar daripada bercerita. dan aku rimas untuk dipaksa bercerita tentang abang aku, kakak aku. aku rasa inilah sebab kenapa kadang-kadang manusia  meletak jarak untuk terlibat dalam hidup orang lain kerana seperti aku, ada yang tidak suka kau terlibat dalam hidup mereka.

kerana, aku tidak mahu jika aku mula bercerita tentang abang aku,kau akan katakan...

"oh, abang kau yang busuk hati tu kan..."

inilah padahnya yang aku mahu elakkan.